Nov 21, 2022 - FASSelangor FC akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak untuk perlawanan kedua Separuh Akhir kempen TM Piala Malaysia 2022 menentang Terengganu FC jam 9 malam.
Perlawanan Separuh Akhir pertama menyaksikan pasukan Gergasi Merah berjaya meledak tiga jaringan gol kesemuanya hasil daripada sepakan penjuru Mukhairi Ajmal. Baca lebih lanjut reviu perlawanan di sini.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, beliau menganggap malam ini seperti perlawanan yang baharu biarpun dengan kelebihan dua jaringan gol.
"Pasukan Terengganu kita tahu mereka cukup garang dan sangat bahaya di tempat sendiri. Kita perlu awasi setiap gerakan mereka dan cepat menyerap tekanan yang pasukan Terengganu akan berikan.
Malam ini adalah seperti perlawanan baharu. Bekalan dua gol yang ada bukanlah satu keselesaan untuk pasukan. Walau bagaimanapun, latihan telah dijalankan, pemain juga nampak sudah bersedia untuk berikan fokus 90 minit di padang nanti," tegas Tan Cheng Hoe.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Piala Malaysia hari ini, pasukan Selangor FC masih belum dapat menurunkan Safuwan Baharudin yang masih dalam proses pemulihan akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’, manakala Halim Saari masih lagi dalam proses pemulihan penuh daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Selain itu, Zahril Zabri juga tidak dapat bersama pasukan kerana mengalami kecederaan Meniscus.
Walau bagaimanapun, penyokong boleh bersorak gembira dengan kembalinya Yazan Al-Arab selepas menjalankan tanggungjawabnya bersama Jordan.
Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan malam ini. Semoga berjaya Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!